Selamat Datang ke Blog Kumpulan 5
Khamis, 23 Disember 2021
Pembentukan Falsafah Pendidikan Guru (FPG) dan kandungannya secara yang tersurat dan tersirat
Pembentukkan Falsafah Pendidikan Guru Malaysia:
- Pendidikan guru yang ada segerak selari dengan matlamat negara yang
dinyatakan dalam Laporan Pelajaran seperti Penyata Razak(1956) dan Laporan
Rahman Talib(1961)
- Pada tahun 1982, Kementeriaan Pendidikan Malaysia telah menggubal
dan mendokumentasikan Falsafah pendidikan Guru dengan rasmi. Ia digubal
bertujuan menjadi panduan bagi merealisasikan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan(FPK) . FPG menjelaskan jenis guru yang diperlukan oleh negara kita.
- Di Malaysia, faslfah pendidikan guru digubal berdasarkan model
konseptual pendidikan guru:
Model Konseptual Pendidikan Guru
Model Konseputal Pendidikan melibatkan tiga aspek asas iaitu:
1) Pengetahuan – dikaitkan dengan perkembangan dan kepentingan dalam
kehidupan.
2) Kemahiran – merangkumi kemahiran menggunakan bahan-bahan pelajaran
dengan hasrat untuk meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran.
3) Nilai-Nilai Murni – Merujuk kepada perlakuan nilai murni, pengamalan
guru yang penyayang dan mempunyai nilai-nilai integriti yang tinggi.
Pernyataan Kandungan FPG:
Keterangan Kandungan FPG:
KANDUNGAN | KETERANGAN
|
Berpekerti mulia |
Contohnya: guru sentiasa memberi pertolongan
secara ikhlas walau apa jua keadaan tanpa mengharapkan balasan. |
Berpandangan progresif dan saintifik |
Contohnya:
guru sentiasa berusaha mempelbagaikan teknik mengajar untuk memastikan
keberkesanan PDP sentiasa lancar dan mudah difahami oleh murid-murid. |
Bersedia menjunjung aspirasi negara |
Contohnya: guru
sentiasa taat akan arahan dan mengutamakan dasar Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM). |
Menyanjung warisan kebudayaan negara |
Contohnya:
guru sentiasa menjaga kelakuan sepanjang masa. |
Menjamin perkembangan individu |
Contohnya:
murid bebas memilih subjek elektif, aktiviti kokurikulum dan
mengemukakan idea yang bernas. |
Memelihara satu masyarakat yang bersatu padu |
Contohnya:
guru sentiasa menerapkan elemen perpaduan apabila mengajar di dalam kelas dan
juga dalam aktiviti kokurikulum. |
Memelihara suatu masyarakat yang demokratik |
Contohnya:
guru sentiasa memberi nasihat dalam membuat sebarang keputusan. |
Memelihara suatu masyarakat yang progresif |
Contohnya:
dapat melahirkan guru dan murid yang berfikiran jauh dan berwawasan dalam
kehidupan. |
Memelihara suatu masyarakat yang berdisiplin |
Contohnya:
guru berusaha untuk menerapkan semangat cintakan kemerdekaan dalam diri
setiap murid. |
Falsafah Pendidikan Guru sebagai teras kepada pembentukan pemikiran dan amalan guru-guru dari aspek pengetahuan, keterampilan, sahsiah dan etika guru.
Falsafah Pendidikan Guru sebagai Teras kepada Pembentukan Pemikiran dan Amalan Guru-Guru dari Aspek Pengetahuan, Keterampilan, Sahsiah dan Etika Guru
Sebelum tahun 1982, pendidikan guru di Malaysia tidak mempunyai satu falsafah yang tersurat dalam bentuk dokumentasi. Sehubungan dengan itu pada tahun 1982, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menggubal dan mendokumentasikan Falsafah Pendidikan Guru dengan rasminya. Objektif utama FPG didokumentasikan adalah untuk menjadi rujukan, panduan, amalan dan wawasan kepada semua institusiyang melahirkan guru-guru di Malaysia. Justeru itu,FPG telah menjadi teras kepada pembentukan pemikiran dan amalan guru-guru dari aspek pengetahuan, sahsiah, keterampilan, dan etika.
Dari segi pengetahuan, seorang guru profesional haruslah memiliki pengetahuan yang meluas mengenai subjek yang bakal diajari bagi mencapai keberkesanan dan produktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di dalam bilik darjah. Shulman (1986), menggariskan beberapa tujuh kategori pengetahuan yang mesti dihayati dan dikuasai untuk menjadi guru profesional. Pengetahuan yang perlu dihayati dan dikuasa oleh tenaga pengajar ialah pengetahuan tentang pedagogi umum, pengetahuan tentang kandungan subjek, pengetahuan tentang pedagogi kandungan subjek, pengetahuan tentang kurikulum, pengetahuan tentang pelajar, pengetahuan tentang konteks pendidikan dan yang terakhir pengetahuan tentang falsafah, matlamat,tujuan dan nilai pendidikan.
Rabu, 22 Disember 2021
Analisis Kriteria Kerjaya Guru Sebagai Profesional dalam Perkhidmatan Awam
Analisis Kriteria Kerjaya Guru Sebagai Profesional dalam Perkhidmatan Awam
Maksud profesion menurut Kamus Dewan edisi keempat ialah suatu bidang pekerjaan yang memerlukan pendidikan dan kecekapan serta dilengkapi dengan kemahiran-kemahiran yang tinggi dan latihan-latihan yang khusus. Profesion ini boleh dikatakan sebagai satu bidang pekerjaan yang melibatkan penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang kompleks. Profesion yang dianggap profesional ini ialah kerjaya yang memerlukan setiap ahlinya itu berpegang kepada kod etika dan memberikan komitmen yang tinggi bagi memberikan perkhidmatan awam yang mantap, berkualiti dan berkesan kepada masyarakat dan dianggap sebagai satu perjanjian yang telah dibuat dengan masyarakat. Profesion yang sebenar mempunyai ciri-ciri seperti kepentingan intelek, latihan ikhtisas yang mencukupi, khidmat yang diperlukan oleh masyarakat, menikmati autonomi, mementingkan kualiti perkhidmatan, mempunyai kod etika dan organisasi sendiri untuk menguruskan hal-hal berkaitan dengan profesion. (Lieberman, 1956). Pendek kata, profesion ini merujuk kepada suatu pekerjaan yang melaksanakan fungsi sosial yang penting. Guru adalah pelita ilmu. Kerjaya guru merupakan satu pekerjaan yang tidak asing bagi semua masyarakat dan profesion ini dianggap sebagai satu kerjaya yang profesional. Umum mengetahui bahawa perkhidmatan mereka yang profesional ini akan disambut pada 16 Mei setiap tahun bagi menghargai jasa mereka yang telah mendidik, mengajar dan mengasuh murid-murid. Guru-guru sering dikenali sebagai ibu bapa kedua pelajar di sekolah yang memegang tanggungjawab yang besar dalam perkembangan ilmu pengetahuan serta kemahiran pelajar. Oleh itu, profesion keguruan ini melibatkan beberapa kriteria penting yang menyebabkan kerjaya ini dianggap sebagai satu kerjaya yang profesional.
Apabila menyentuh tentang kriteria profesion keguruan sehingga dianggap sebagai kerjaya profesional, kriteria yang utama ialah profesion keguruan ini merupakan satu kerjaya yang unik. Unik itu didefinisikan sebagai istimewa dan tidak sama dengan yang lain misalnya seperti mempunyai identiti mereka yang tersendiri. Kerjaya guru ini unik kerana hanya guru yang memiliki kemampuan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik bagi membangunkan personaliti, kebolehan intelek, rohani, emosi dan jasmani para pelajar secara menyeluruh, bersepadu, seimbang dan harmoni. Walaupun pada masa ini dunia semakin dilingkari oleh kemajuan sains dan teknologi yang pesat membangun, dan pelajar mempunyai ibu bapa, televisyen serta internet sebagai sumber ilmu mereka, namun perkhidmatan guru-guru tetap diperlukan. Hal ini dikatakan demikian kerana hanya guru-guru yang merupakan pakar yang terlatih dan bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas untuk mewariskan ilmu pengetahuan, kemahiran, nilai, kebudayaan serta kepercayaan kepada generasi-generasi yang seterusnya. Guru-guru yang merupakan pakar terlatih ini terdiri daripada guru-guru mata pelajaran yang akan menguasai satu atau dua subjek untuk diajarkan kepada pelajar serta Guru Pakar dan Guru Cemerlang. Guru-guru yang memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan diakui akan mendapat pengiktirafan sebagai Guru Cemerlang. Guru-guru mempunyai tanggungjawab untuk memastikan perkhidmatan mereka dapat melahirkan generasi-generasi muda yang bersifat holistik dan seimbang agar mampu menjadi pelapis pemimpin negara yang unggul serta ideal bagi membawa sistem pendidikan negara ke peringkat antarabangsa.
Melabuh ke pangkalan isi yang seterusnya, kriteria kedua profesion keguruan ini dianggap sebagai kerjaya profesional kerana guru-guru mempunyai tahap pendidikan yang tinggi. Sebelum seorang guru itu mendapat sijil pengiktirafan untuk memulakan bidang tugas mendidik, mengajar dan mengasuh anak-anak, setiap guru akan menjalani tempoh pengajian di institusi pendidikan guru dalam tempoh 4 hingga 5 tahun lamanya. Tempoh pengajian yang lama ini bertujuan untuk memastikan setiap guru-guru itu mampu mendalami 3 komponen penting untuk menjadi seorang guru yang terbaik buat para pelajar. 3 komponen yang ditekankan semasa tempoh pengajian tersebut ialah komponen pengetahuan dan kefahaman, komponen kemahiran kaedah dan teknik serta komponen amalan nilai profesional. Komponen pengetahuan dan kefahaman ini melibatkan konten, kurikulum, pelajar, falsafah dan matlamat pendidikan serta persekitaran pendidikan. Misalnya penguasaan subjek dan kurikulum. Manakala, komponen kemahiran kaedah dan teknik melibatkan pedagogi umum, pedagogi kandungan, pengurusan bilik darjah serta penguasaan teknologi maklumat yang sangat diperlukan pada masa ini. Komponen amalan nilai profesional ini pula merupakan amalan nilai-nilai murni, perlakuan guru-guru yang bersifat penyayang, bepekerti mulia, berdaya tahan, patriotik, inovatif, kreatif, motivatif dan patuh kepada Etika Profesionalisme Keguruan yang telah ditetapkan dan wajib diikuti oleh semua guru. Pematuhan kepada kod etika ini membuktikan bahawa guru-guru terikat kepada etika yang wajib dituruti sekali gus membuktikan bahawa profesion keguruan ini adalah satu perkhidmatan yang profesional.
Etika merupakan satu sistem yang berkaitan dengan dasar akhlak dan tingkah laku bagi sesuatu kumpulan manusia atau organisasi. Sistem dasar tersebut akan meliputi aspek-aspek moral yang baik dan buruk, serta yang betul dan salah dengan tujuan untuk memberikan satu garis panduan kepada ahli-ahli yang berkaitan. Oleh itu, Kod Etika Perkhidmatan adalah salah satu kriteria yang turut menyebabkan profesion keguruan ini dianggap profesional. Dalam konteks perguruan, etika yang dipegang oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ialah “Tatasusila Profesion Keguruan”. Etika ini yang menjadi satu garis panduan dan dasar yang wajib dipatuhi oleh kakitangan-kakitangan perguruan. Seseorang yang melanggar kod etika yang telah ditetapkan ini akan dikenakan satu tindakan tatatertib serta turut dikenakan hukuman yang sewajarnya diperolehi. Tatasusila Profesion Keguruan ini terdiri daripada 4 bahagian tanggungjawab iaitu tanggungjawab terhadap pelajar, tanggungjawab terhadap ibu bapa, tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara serta tanggungjawab terhadap rakan sejawat dan profesion perguruan. Tanggungjawab terhadap pelajar misalnya guru-guru lebih mengutamakan kebajikan serta keselamatan pelajar berbanding diri mereka sendiri serta bersikap adil kepada semua pelajar tanpa mengira perbezaan mereka. Manakala, tanggungjawab terhadap ibu bapa adalah dengan guru-guru membina satu hubungan yang baik dengan ibu bapa para pelajar. Sementara, tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara misalnya guru-guru bertanggungjawab membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk dan memelihara imej negara serta tidak melakukan sebarang tindakan yang bertentangan dengan prinsip rukun negara. Tanggungjawab terhadap rakan sejawat dan profesion perguruan pula adalah tanggungjawab guru seperti tidak mencemarkan imej profesion perguruan dengan tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang menjejaskan kecekapan guru.
Menelusuri topik yang berkaitan dengan kriteria kerjaya guru , kriteria persatuan ini turut menjadi sebab yang mempengaruhi pekerjaan ini dianggap profesional. Hal ini dikatakan demikian kerana, kebanyakkan profesion akan mempunyai suatu badan atau organisasi yang terdiri daripada pelbagai jawatankuasa, pasukan petugas dan sebagainya yang akan berganding bahu menggembleng tenaga mencapai matlamat serta meningkatkan imej profesion. Kriteria persatuan ini menyebabkan kerjaya guru dianggap profesional kerana guru-guru bergerak dalam satu organisasi yang bersama-sama membentuk matlamat yang ingin dicapai bagi memastikan sistem pendidikan negara berkembang maju dan berkualiti sekali gus melahirkan pelajar-pelajar yang berintelek serta berkemahiran pada masa hadapan. Badan-badan persatuan ini mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan yang sepatutnya terhadap ahli-ahli dalam profesion keguruan yang telah melanggar kod etika yang telah dipersetujui bersama sebelum melaksanakan tugas sebagai seorang guru.
Kriteria profesion keguruan yang terakhir ialah kriteria tanggungjawab.
Guru-guru mempunyai tanggungjawab untuk menjalankan tugas seorang seorang guru
dengan penuh amanah. Ahli-ahli profesion keguruan yang terdiri daripada guru-guru
ini diamanahkan dengan tanggungjawab yang besar dalam tugas mereka serta turut
bertanggungjawab terhadap semua tindakan dan keputusan yang telah dibuat. Perkhidmatan yang telah diberikan oleh guru-guru dan dianggap profesional ini melibatkan kebajikan manusia maka, tanggungjawab yang
diletakkan pada bahu guru-guru tidak boleh dipandang enteng. Hal ini dikatakan
demikian kerana, profesion keguruan ini mempunyai tanggungjawab yang sangat
berat kerana melibatkan kebajikan para pelajar. Oleh itu, kriteria
tanggungjawab ini turut memainkan peranan penting dalam menjadikan profesion
guru sebagai satu kerjaya yang profesional dalam perkhidmatan awam.
Sebagai menggulung kepada segala perkara yang telah
dinyatakan di atas, sudah terang lagi bersuluh bahawa 6 kriteria kerjaya guru
tersebut menjadikan profesion kerjaya ini dianggap sebagai profesional dalam
perkhidmatannya. Pekerjaan guru-guru bukan hanya terhad kepada perkhidmatan
mengajar semata-mata malah turut melibatkan tugas-tugas lain yang penting untuk
menyokong usaha memperkembangkan pendidikan negara agar mampu duduk sama
rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain. Oleh itu,
pekerjaan seorang guru ini tidak harus dipandang sebelah mata kerana guru
merupakan individu yang terlatih dan berpengalaman dalam memastikan pelajar
tidak ketinggalan dalam pelajaran walaupun memiliki pelbagai cabaran kelak
misalnya seperti situasi yang dihadapi oleh negara Malaysia pada masai ini iaitu situasi
Pandemik Covid-19. Guru-guru akan bertindak secara profesional untuk
menyesuaikan diri dalam norma baharu yang melanda dan mengugat sistem
pembelajaran yang lama. Guru-guru akan menjalankan tanggungjawab untuk mengajar
dan memberikan ilmu pengetahuan kepada semua murid melalui pelbagai kaedah yang
lain kerana bagi mereka hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Mereka akan
menjalankan tanggungjawab sebagai seorang guru secara profesional dalam
perkidmatan awam mereka.
Terima Kasih😊
Analisis komponen Standard Guru Malaysia ke arah melahirkan guru Malaysia yang bertaraf dunia.
Analisis komponen Standard Guru Malaysia ke arah melahirkan guru Malaysia yang bertaraf dunia
Selamat Datang ke Blog Kumpulan 5
Selamat Datang ke Blog Kumpulan 5
-
Analisis Kriteria Kerjaya Guru Sebagai Profesional dalam Perkhidmatan Awam https://youtu.be/WM6AuV4kcPY Maksud profesion menurut Kamus...
-
Pembentukkan Falsafah Pendidikan Guru Malaysia: - Sebelum tahun 1982, pendidikan guru di Malaysia tidak mempunyai satu falsafah yang tersura...
-
Falsafah Pendidikan Guru sebagai Teras kepada Pembentukan Pemikiran dan Amalan Guru-Guru dari Aspek Pengetahuan, Keterampilan, Sahsiah dan ...