Khamis, 23 Disember 2021

Falsafah Pendidikan Guru sebagai teras kepada pembentukan pemikiran dan amalan guru-guru dari aspek pengetahuan, keterampilan, sahsiah dan etika guru.

Falsafah Pendidikan Guru sebagai Teras kepada Pembentukan Pemikiran dan Amalan Guru-Guru dari Aspek Pengetahuan, Keterampilan, Sahsiah dan Etika Guru

Sebelum tahun 1982, pendidikan guru di Malaysia tidak mempunyai satu falsafah yang tersurat dalam bentuk dokumentasi. Sehubungan dengan itu pada tahun 1982, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menggubal dan mendokumentasikan Falsafah Pendidikan Guru dengan rasminya. Objektif utama FPG didokumentasikan adalah untuk menjadi rujukan, panduan, amalan dan wawasan kepada semua institusiyang melahirkan guru-guru di Malaysia. Justeru itu,FPG telah menjadi teras kepada pembentukan pemikiran dan amalan guru-guru dari aspek  pengetahuan, sahsiah, keterampilan, dan etika.

    Dari segi pengetahuan, seorang guru profesional haruslah memiliki pengetahuan yang meluas mengenai subjek yang bakal diajari bagi mencapai keberkesanan dan produktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di dalam bilik darjah. Shulman (1986), menggariskan beberapa tujuh kategori pengetahuan yang mesti dihayati dan dikuasai untuk menjadi guru profesional. Pengetahuan yang perlu dihayati dan dikuasa oleh tenaga pengajar ialah pengetahuan tentang pedagogi umum, pengetahuan tentang kandungan subjek, pengetahuan tentang pedagogi kandungan subjek, pengetahuan tentang kurikulum, pengetahuan tentang pelajar, pengetahuan tentang konteks pendidikan dan yang terakhir pengetahuan tentang falsafah, matlamat,tujuan dan nilai pendidikan.


    Selain itu, Falsafah Pendidikan Guru menjadi teras kepada pembentukan pemikiran dan amalan guru-guru dari aspek keterampilan. Hal ini kerana seorang guru haruslah mempunyai keterampilan diri yang baik bagi memenuhi kriteria profesion keguruan. Keterampilan diri bermaksud kecekapan dan kemampuan seseorang individu yang tinggi dalam mengurus atau melaksanakan sesuatu dan menyelesaikan masalah dengan menggunakan pelbagai cara yang efektif. Personaliti, penampilan, komunikasi, etika kerja merupakan kriteria yang dapat mencerminkan keterampilan seseorang. Justeru itu, guru yang mempunyai keterampilan diri yang bagus dapat meningkatkan keberkesanan sesi Pengajaran dan Pembelajaran. Serta meningkatkan keyakinan diri dan menyerlahkan lagi kewibaan seorang guru ketika di dalam bilik darjah. Tamsilnya, jika seseorang tenaga pengajar mempunyai keterampilan diri yang tinggi dengan memperkemaskan penampilan berpakaian mereka. Ianya dapat memperlihatkan bahawa guru tersebut mempunyai nilai profesional yang tinggi, seorang yang kemas dan berdisplin. Hal ini secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan dan fokus untuk menyampaikan ilmu di dalam kelas. Selain itu, guru yang mempunyai keterampilan yang bagus mempunyai tingkah laku yang sopan, menggunakan bahasa yang sopan ketika mengajar dan menegur kesalahan murid mereka serta memiliki watak yang mesra supaya mudah untuk berinteraksi dengan para murid.

    Seterusnya, Falsafah Pendidikan Guru menjadi teras kepada pembentukan pemikiran dan amalan guru-guru dari aspek sahsiah. Guru haruslah mempunyai sahsiah yang baik kerana sebelum membentuk sahsiah pelajar, seseorang guru itu mestilah terlebih dahulu mempunyai sahsiah yang terpuji untuk dicontohi oleh para pelajar. Pelajar secara tidak langsung mempelajari sahsiah dan perilaku guru mereka. Jika baik contoh yang mereka lihat maka baiklah pengaruh yang diberi, sebaliknya jika para guru memperlihatkan sahsiah yang buruk terhadap murid mereka maka buruklah pengaruh yang diperolehi anak murid mereka.  Maka dengan itu, seeloknya guru-guru memperbaiki sahsiah mereka dan menunjukkan contoh yang baik terhadap anak murid supaya dapat mengelak sikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus. Jika ramai tenaga pengajar menitik beratkan aspek sahsiah dalam kehidupan seharian mereka, ianya dapat menggurangkan timbulnya isu-isu negatif yang dilakukan oleh para guru seperti isu guru lewat memasuki kelas, guru ponteng mengajar dan guru rogol pelajar serta dapat menjaga nama baik guru-guru di Malaysia.

        Akhir sekali, Falsafah Pendidikan Guru menjadi teras kepada pembentukan pemikiran dan amalan guru-guru dari aspek etika para guru. Etika berasal daripada perkataan Greek "ethos" yang bermakna watak kesusilaan atau adat kebiasaan. Pengamalan etika yang baik dapat mempertingkatkan nilai profesionalisme keguruan seorang tenaga pengajar. Hal ini kerana, etika merupakan tingkah laku satu individu yang mengamalkan kehidupan seharian dengan benar. Jika seseorang guru mempunyai etika yang baik, ia dapat menjadi garis panduan yang bertujuan untuk meningkatkan hasil pengajaran yang berkualiti. Justeru itu, etika keguruan telah digubal pada tahun 1970-an dan etika ini merupakan set tingkah laku dan tanggungjawab guru terhadap pelajar, ibu bapa, masyarakat dan negara. Contoh nilai kerja yang telah digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan wajib diamalkan ialah amanah, benar, bijaksana,bersyukur, berdedikasi, ikhlas dan penyayang. Oleh itu, setiap guru yang berkhidmat untuk negara bangsa ini wajib akur dan tidak melanggar kod etika guru. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Selamat Datang ke Blog Kumpulan 5

  Selamat Datang ke Blog Kumpulan 5